BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

26 March 2009

BERSAHABAT DALAM ISLAM

Memilih sahabat yang soleh dan baik dalam kehidupan seseorang adalah penting. Sahabat boleh mempengaruhi peribadi dan dan tingkahlaku seseorang yang dekat dengannya. Secara umumnya, antara cara yang baik untuk kenal dengan seseorang ialah dengan mengetahui siapa sahabatnya.

Perwatakan seseorang yang dekat dengan seseorang boleh membantu untuk mengetahui tabiat dan cara hidupnya.

Sehingga Rasulullah SAW pernah bersabda: “Jauhilah olehmu sahabat yang buruk, sebab engkau akan dikenal dengannya.” (Ibnu Asakir) “Seseorang itu akan berada pada din temannya. Kerana itu hendaklaha setiap orang di antara kamu itu mempehatikan siapa orang yang akan dia bersahabat dengannya.” (Tirmizi dan Abu Daud).

Melalui sahabat yang baik, seseorang akan dapat meluruskan akhlaknya serta menjadikannya ahli masyarakat yang bertanggungjawab.

Kedudukan sahabat dalam Islam amat istimewa kerana pengaruh dan peranannya dalam kehidupan, sekaligus mempengaruhi keharmonian masyarakat dan negara. Bahkan, hubungan mereka itu menggambarkan tahap iman seseorang.

Pertalian perasaan yang diwujudkan itu, mampu menyerlah hakikat sebenarnya penghayatan seseorang pada ajaran Allah. Ini termasuklah dasar dan bentuk hubungan itu diwujudkan. Dan orang yang beriman, Islamlah yang menjadi dasar dan panduan dalam bersahabat.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tiga perkara, siapa yang ada tiga perkara tersebut, ia akan merasai kemanisan iman. Orang yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya paling ia kasihi, orang yang mengasihi seseorang kerana Allah, dan orang yang benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (melepaskannya) sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api.”(Bukhari Muslim Tirmizi)

Hubungan baik sesama manusia ini dapat dijadikan sebagai kayu pengukur pada tahap keimanan seseorang. Sekalipun mudah untuk disebut, sebenarnya mewujudkan hubungan yang seni itu adalah sukar. Tidak mudah untuk mempercayai atau dipercayai seseorang.

Rambut sama hitam, tetapi hati tidak ada siapa yang tahu. Di samping itu, orang akan mudah untuk mendampingi seseorang ketika senang, dan sukar untuk mendapat teman yang ketika dalam kesusahan. Oleh kerana itulah ciri utama persahabatan dalam Islam ialah ia diwujudkan bukan kepentingan tertentu tetapi semata-mata kerana mencari redha Allah.

Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah berfirman pada hari kiamat: “Di manakah orang yang berkasih sayang kerana Allah dan menegah kerana Allah, maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan iman.” (Abu Daud)

0 comments: