BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

12 April 2009

Yang Korek Itu Kendi, Yang Indah Itu Budi

YANG KOREK ITU KENDI, YANG INDAH ITU BUDI
YANG CANTIK ITU AKHLAK, YANG MULIA ITU DIRI

Naluri manusia sukakan sesuatu yang indah, yang dapat memberikan ketenangan. Bila dilihat, didengar atau dipegang ianya menyenangkan hati. Bunga melambangkan keindahan. Bila kita lihat di taman yang dipenuhi bunga-bungaan, hati kita akan rasa tenang bila berada di situ. Apatah lagi kalau bunga-bungaan itu mempunyai keharuman yang memikat. BUNGA IBARAT AKHLAK. Benih yang baik akan menghasilkan bunga yang indah dan subur ditambah pula dengan keharumannya. Ibadah yang ikhlas kerana Allah akan menghasilkan akhlak yang terpuji. Akhlak yang baik akan disenangi semua orang, sesiapa saja yang mendekati akan senang untuk bergaul dan berbicara.

Ada bunga yang cantik bila dipandang tapi hanya setakat pandangan mata zahir, sayang keharumannya tiada. Begitu juga ibadah yang banyak seperti solat sunat, wirid, zikir, sedekah dan baca al-Quran tapi akhlak tetap tidak berubah, kononnya beribadah untuk Allah; sebaliknya lain yang berlaku. Sifat bangga diri, ujub, ego, ‘akulah orangnya’ tumbuh dalam diri. Jadilah seperti bunga yang pada awalnya tumbuh membesar tapi kemudian layu terkulai. Ataupun bunga yang cantik tapi mempunyai bau yang busuk, lalu tak siapa yang sudi menyuntingnya.

Tapi manusia sentiasa keliru di sebalik kecantikan dan keharuman bunga. Mereka tidak sedar, di sebalik bunga itu terdapat duri dan racun yang berbisa. Oleh itu, bila menilai kawan, kita harus berhati-hati. Jangan kita terjerat dengan sifat dan pandangan zahir. Tak mustahil tanpa sedar rupanya orang yang kita anggap kawan itu; musuh dalam selimut yang menjerumuskan kita ke lembah kehinaan.

Untuk mendapatkan bunga yang cantik dan harum perlukan benih yang baik, begitu juga akhlak manusia perlukan hati yang bersih dan jiwa yang ikhlas. Bila faktor ini ada dalam diri, keharumannya akan dicium oleh sesiapa saja di sepanjang musim. Bila dekat kita mencium baunya, jauhpun kita terkenang-kenangkan keharumannya. Untuk mendapatkan akhlak yang baik, kita mestilah mengikuti contoh akhlak Rasulullah SAW, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah itu menjadi contoh teladan baik bagi kamu dan bagi orang yang berharap menemui Tuhan dan Hari Kemudian dan mengingati Tuhan sebanyak-banyaknya.”

1 comments:

YAN said...

Salah pantun tu.
Yang betul:
"YANG KURIK ITU KUNDI"