BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

15 May 2009

INSAN KECIL


Persahabatan ini terlalu suci untuk aku buangkan. Terlalu indah untuk aku kuburkan. Namun apalah erti persahabatan ini andai luka yang menjadi balasannya. Persahabatan ini ibarat kayu yang rapuh. Terlalu mudah patah bila badai melanda. Namun siapalah aku untuk menyatakan kasihku pada dia yang bergelar sahabat. Aku hanya insan kecil. Terlalu kecil hingga aku kadang-kala dipersia begitu saja. Adakah aku tiada makna dalam hidupmu? Dimanakah namaku berada dalam kamus hatimu? Atau mungkin langsung tidak tercatat namaku di mana-mana ruangan kecil hatimu? Hingga terlalu senang kau mencampakkan aku di mana-mana bila aku tidak kau perlukan.

Mungkin benar kata orang, aku pelakon hebat. Terlalu hebat mempertontonkan watak sahabat yang terlalu memahamimu. Namun mungkin kau tidak sedari betapa rapuhnya hatiku tak kala kau hadiahkan aku kelukaan. Betapa peritnya senyuman yang terukir. Mungkin kau hanya nampak kemanisan senyuman itu tapi kau tidak pernah rasa kepahitan di celahannya. Tahukah kau kemanisan itu datangnya dari rasa ikhlasku padamu tapi dari mana datangnya kepahitan itu? Kau sendiri tidak tahu. Kepahitan itu datangnya dari jiwa insan kecil yang terluka. Sakitnya hati ini bila tercalar. Aku insan kecil yang hanya mampu menangis bila aku disakiti. Tidak mampu berbuat apa-apa bila jiwa aku dilukai. Siapa yang mahu mendengar tangisan insan kecil ini? Cuma malam yang pekat itu faham. Dia selalu menjadi teman. Setia benar dia mendengar keluhanku. Kerna gelap malam itu yang selalu mendengar irama sendu berlagu pilu insan ini. Mengapa? Kerna aku insan kecil.

Aku bangga denganmu kerna tanpa aku kau mampu berdiri gah tapi tahukah kau tanpamu aku terlalu lemah. Tanpa kau jiwaku terasa hambar. Tanpamu juga duniaku hilang. Langsung tiada seri. Wahai sahabatku, di kala ini kelopak-kelopak kerisauan mula berputik di ruangan hatiku. Aku bimbang kerana bunga-bunga di taman hati yang dulu subur mekar berkembang kian layu dan mungkin satu hari nanti taman yang indah ini akan hilang keindahannya. Seperti persahabatan ini, aku kian jauh darimu tapi langsung tidak kau sedari betapa jauhnya hati kita saat ini.

Aku tidak meminta wang atau harta bendamu sebagai balasan untukku sebagai temanmu yang setia. Aku memilihmu bukan kerana hartamu atau raut wajahmu yang mempersonakan. Aku memilihmu kerana aku yakin padamu. Yakin pada keikhlasan hatimu. Aku hanya mahu meminta pengertianmu dalam mengharungi ranjau dan duri dalam hidup ini. Aku pinta kau memahami hati dan perasaanku seperti mana aku yang sentiasa menjaga hati dan perasaanmu. Aku amat bimbang jika sekeping hati milikmu dicalari. Risau andai hatimu disakiti. Apakah kau juga seperti aku?

Aku menyayangimu sahabat dengan sepenuh jiwaku. Kasih dan sayang inilah yang sering memakan jiwaku sendiri. Melumatkan hatiku hingga langsung tiada serpihannya. Kerana kau aku sanggup terluka. Kerana kau juga aku sanggup dilukai. Kerana kau, aku bina kembali hati ini. Aku membinanya dengan kalimah kemaafan darimu. Dengan pujukan dan kata-kata manismu. Untuk apa? Untuk kau sakiti ia berulang kali. Aku insan yang kering jiwanya. Aku mencari di mana dia kasih, dimana dia sayang. Aku berharap kau mampu basahi jiwa ini dengan ketulusan hatimu. Siapalah aku?. Aku hanya insan kecil yang mengharap kasih saktimu menyuburkan jiwaku.

Sahabat, andai di pertengahan jalan ini terhentinya kasih kita. Terputusnya ikatan kita, aku harap kau terus berlari menggapai cita-citamu. Maafkanlah aku yang tak bisa mempertahankan kasih ini hingga tiba di penghujung jalan. hingga ajal menjemputku pulang. Sahabat, teruskan perjalananmu. Kerana destinasi kita masih jauh. Masih tidak terjangkau dek pemikiran. Usah kau toleh lagi kebelakang. Usah kau cari lagi di mana bayanganku berada. Kerana aku tidak mahu kau kenangi lagi kisah silam kita. Namun ketahuilah yang aku sentiasa ada untukmu walaupun kasihmu sudah tiada bersamaku. Ketahuilah namamu sudah ku semat kukuh di hatiku. Biarku simpan kisah ini menjadi coretan luka dalam jiwa yang lara ini. Untukmu sahabat ku hadiahkan puisi ini.

Sahabat,

Hulurkanlah tanganmu bila aku terjatuh,

Pimpinlah tanganku bila aku tersesat,

Hamparkanlah bahumu saat aku berduka

Peluklah aku bila aku berjaya

Sahabat,

Aku berharap kau selalu ada

saat aku memerlukanmu,

Saat suka dan duka menjenguk jiwaku,

Saat aku hilang tempat berpaut,

Dan saat itu ku harap kau hulurkan tanganmu

Bersama keikhlasan hati.

Tanda tuluskan ikatan kita.

Sahabat,

Aku tidak berharap kau menjadi insan sempurna,

Kerana aku juga tidak sempurna,

Aku tidak harap kau sebagai pelindungku

Aku hanya berharap agar kau memberi sedikit semangatmu,

Untuk aku berdiri tegak,

Berani menempuh arus hidup yang makin ganas gelombangnya.

Sahabat,

Genggamlah tanganku andai engkau tidak mampu berdiri sendiri,

Peluklah aku tika kesepian menemanimu,

Tangan ini tidak pernah kuat untuk memegangmu,

Tapi aku percaya keikhlasanku cukup teguh untuk menolongmu,

aku memerlukanmu seperti mana kau memerlukan aku.

0 comments: