BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

29 March 2011

♥ ♥ ♥Buatmu Bakal Mujahidku♥ ♥ ♥


Wahai bakal mujahidku
Tika ini, saat ini
Aku masih di sini
Masih setia menanti
Menantimu menyunting diri ini
Sebagai suri hidupmu
Sebagai sayap kiri dalam jihad dan mujahadahmu
Sebagai bidadari penghapus sepimu
Sebagai pelengkap kekurangan dirimu


Wahai bakal mujahidku
Tahukah kau siapa aku?
Aku cumalah gadis biasa yang penuh noda
Diriku dilumuri kotornya dosa
Diriku dibayangi kelemahan dan kekurangan
Kerana apa?
Kerana terciptanya aku dari tulang rusuk kirimu yang bengkok
Mana mungkin tulang yang bengkok melahirkan insan yang sempurna
Maka kerana itu wahai mujahidku
Hanya engkaulah satu-satunya insan yang mampu meluruskannya
Luruskanlah aku dengan iman dan taqwamu padaNYA
Kerana itu yang membuat aku turut mencintaimu keranaNYA
Luruskanlah aku dengan kasih, cinta dan rindumu kepadaNYA
Kerana itu akan membuat kau turut mencintaiku keranaNYA
Luruskanlah aku dengan keluhuran budi dan akhlakmu
Kerana itu yang akan membuatku menjadi bidadari terindah buatmu
Dan luruskanlah aku dengan kesungguhan jihadmu
Kerana itu akan menguatkanku sebagai sayap kirimu
Tetapi, berhati-hatilah dan bersabarlah
Jangan sampai yang bengkok menjadi patah
Jangan sampai kau penat, letih dan lelah
Jangan sampai kau tersungkur dan rebah
Jangan sampai aku kehilangan arah


Wahai bakal mujahidku
Seperti yang kau tahu
Aku cumalah wanita biasa
Hari-hariku berlalu sepertimana mereka yang biasa
Jangan pernah kau harapkan keistimewaan yang luar biasa dariku
Janganlah kau dambakan kejutan hebat dari peribadiku
Kerna aku cuma wanita biasa seperti mereka
Kadang-kadang..aku bersikap dingin dan suram saat 'teman setia' bulananku datang bertamu
Mahukah kau setia menemaniku dan merawatiku?
Kadang-kadang..aku keletihan dan kelelahan menjalani rutin seharianku
Sudikah kau walau sebentar memicit kepala dan bahuku buat penghilang lelahku?
Kadang-kadang..ada pelbagai peristiwa yang aku lalui yang ingin aku kongsikan denganmu
Sanggupkah kau meminjamkan telingamu mendengar celoteh yang pastinya tidak sebentar?
Kadang-kadang..aku ingin berjalan-jalan dan membeli-belah bersamamu
Sanggupkah kau meminjamkan seluruh tubuhmu
menemaniku sepanjang hari tanpa bosan dan jemu?
Kadang-kadang..aku tidak sempat untuk membersihkan rumah kita kerana kesibukanku
Mahukah kau meringankan tulangmu membantuku di hujung minggu?
Lihatlah wahai mujahidku
Betapa banyaknya kelemahan dan kekuranganku
Selepas aku memberitahumu semua ini
Adakah kau masih sudi menemani hari-hariku?
Adakah kau masih sanggup bersabar dengan kerenahku?
Sanggupkah kau wahai mujahidku?


Wahai bakal mujahidku
Tidak banyak yang aku inginkan darimu
Bukan rupa sekacak Yusuf yang aku dambakan
Bukan tubuh sasa yang aku pinginkan
Bukan harta menimbun yang aku kejarkan
Yang aku mahu darimu adalah sekeping hati
Yang penuh kesabaran dalam mentarbiyahku
Yang penuh kenyamanan dalam mengasihiku
Yang penuh kesetiaan dalam mencintaiku
Yang penuh kekentalan dalam perjuangan dakwahmu


Wahai bakal mujahidku
Aku akan terus setia menunggumu
Aku akan terus menunggu saat itu
Saat kau menyuntingku sebagai suri hidupmu
Saat kau bukan lagi bakal mujahidku
Tetapi KAULAH MUJAHIDKU

♥ ♥ ♥♥ ♥ ♥♥ ♥ ♥♥ ♥ ♥♥ ♥ ♥♥ ♥ ♥♥ ♥ ♥

10 March 2011

**Rahsia Wajah Yang Menyenangkan**

“Eh..cerianya awak ni!!!”..”wahhh, suka tul tengok awak nih..asyik senyum memanjang jer”..



Hehehehe..ayat ‘copy n paste’ yang dapat ditangkap dan disimpan sebagai memori di dalam otak. Bukan bermaksud hendak menunjuk peribadi diri tapi itulah di antara kata-kata yang pernah saya sendiri dengar tentang diri saya sendiri. Itu gunanya kawan atau orang keliling. Hanya mereka yang dapat menilai diri kita selain daripada Penilai yang sebenar iaitu Allah S.W.T. Berkaitan dengan ‘ceria’, semua sedia maklum bukan semua orang dapat memperlihatkan gaya ceria dalam diri kita. Masalah dunia antara penyebab utama kita susah nak ‘senyum’ walaupun sekadar senyum kambing. Lalu wujudlah golongan yang ‘kurang mesra’ dengan orang. Masalah tetap menjadi ‘pendamping utama’ setiap hari. Kalau tak besar pun, yang sedikit pun dah buat kepala kita jadi sakit dan ‘moody’.

Bagaimana nak pastikan kita ceria selalu? Saya antara insan yang terpilih oleh Allah, telah dikurniakan perasaan yang mana setiap hari saya ceria [bukan dari penilaian saya tetapi rakan-rakan guru]..tengok sekali macam tak ada masalah padahal dalamannya hanya Allah saja tahu. Bila berada di sekolah, automatik fokus saya pada ‘anak-anak’. Itu antara sebab mengapa saya berasa selesa di sekolah, kalau sampai petang pun tak pa walaupun agak jauh dari rumah. Sebab dan alasan? Ntah, susah nak dikata dengan ayat kerana hanya Allah saja yang tahu.

Dalam keadaan sibuk sekalipun, saya masih diberi peluang oleh Allah untuk meluangkan masa untuk membaca. Saya tetiba tertarik dengan salah satu artikel yang terdapat dalam majalah kesayangan saya yang terkini iaitu SOLUSI yang bertajuk “Wajah Yang Menyenangkan”. Begitu tertarik dan menarik untuk dibaca. Jadi, sebagai sahabat dunia dan akhirat, saya ingin kongsikan rahsia untuk mendapatkan wajah yang menyenangkan orang yang melihat kita ini dengan para sahabat yang membaca blog saya ini. ‘Sharing is Caring and Caring is Loving’.

Niat yang ikhlas

  • Kita perlu memasang niat dalam semua perkara yang kita lakukan sebagaimana mahfum sabda Rasulullah s.a.w Riwayat Muslim: "Sesungguhnya setiap perbuatan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu (balasan) apa yang telah diniatkan." Hadis ini membawa pengertian bahawa setiap perbuatan dan amalan itu dinilai berdasarkan niatnya. Jika niatnya baik dan ikhlas kerana Allah Taala, maka itu merupakan ibadah yang menyebabkannya memperolehi ganjaran pahala. Secara sainstifiknya pula, orang yang berniat baik dan ikhlas ini akan mengeluarkan tenaga dalaman yang positif yang terpancar melalui getaran atau gelombang (brain waves) yang hanya dirasai dengan gerak hati atau intuisi. Wajah orang yang positif ini dirasakan menarik, bersih, lembut, manis dan sebagainya. Orang yang mendampinginya akan merasakan aura itu. Oleh sebab itu, jagalah niat kita bertemu dengan seseorang kerana boleh terpancar pada wajah kita.
Senyuman
  • Senyuman yang tulus ikhlas dapat menghangatkan jiwa yang menerimanya. Ia boleh menjadi penawar dan ibadah, malah turut menceriakan dan memaniskan penampilan kita. Apabila kita senyum dengan niat kerana Allah, ia jadi ibadah sedekah. Senyuman mampu menjadi penawar kepada penyakit rohani yang kronik. Orang yang selalu senyum akan dapat mengeluarkan endorphin dalam badan yang mampu menimbulkan rasa lega, selesa dan ceria. Kesan senyuman ini dapat menimbulkan rasa gembira kepada orang yang melihatnya. Senyuman yang ikhlas akan meresap dalam kalbu yang paling dalam.
Wajah yang ceria
  • Keceriaan ialah anugerah Allah yang tidak terhingga kepada manusia. Ia berpunca dari lubuk hati yang bersih dan suci. Rasa senang dan bahagia menimbulkan wajah yang ceria. Ia merupakan satu kebaikan yang perlu diambil perhatian sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis ini yang bermaksud: "Janganlah kamu memandang remeh terhadap segala kebaikan, walaupun hanya sekadar kamu berjumpa dengan saudaramu dengan wajah yang ceria." (Riwayat Muslim) Alangkah senang hati kita melihat wajah orang yang ceria. Wajah orang yang ceria dapat menghiburkan orang lain.
Kata-kata yang menyenangkan
  • Manusia sangat senang dengan kata-kata pujian dan penghargaan. Ia dapat memotivasikan orang yang menerimanya. Ucapan yang baik dengan penuh kemesraan dapat memikat hati orang yang mendengarnya. Allah juga memerintahkan kita supaya mengucapkan kata-kata yang baik seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 38, mahfumnya: "Dan ucapkanlah kata-kata baik kepada manusia." Oleh sebab itu, rahsia orang yang hebat ialah apabila dia dapat mengeluarkan kata-kata yang menyenangkan hati orang lain.
Penampilan yang menarik
  • Persepsi orang yang melihat kita banyak bergantung pada pakaian kita kerana 95% daripada badan orang Muslim dilitupi oleh pakaian. Identiti seseorang banyak bergantung pada cara mereka berpakaian. Cuba kita buat perbandingan pakaian seorang korporat dengan seorang imam masjid. Tentunya jelas kepada kita bahawa pakaian banyak mempengaruhi persepsi orang terhadap kita. Manusia sangat senang dan suka kepada kecantikan. Oleh sebab itu, pilihlah pakaian yang menarik dan sesuai dengan keadaan dan suasana supaya orang senang melihat kita.
********* SOLUSI : 29 *********