BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

31 July 2011

::Bagaimana ALLAH solat?::



Dalam sebuah kelas di sekolah rendah agama, para murid darjah dua sedang tekun mendengar ajaran daripada ustazah mereka. Topiknya berkenaan dengan solat.

Ustazah mereka bertanya sebagai mukadimah, “Siapa yang solat Subuh tadi?”

Hanya sebilangan murid yang beria-ria mengangkat tangan manakala beberapa kerat lagi hanya terdiam, segan-segan dan malu-malu.

Ustazah memerhatikan dan kemudian tersenyum bersahaja. Dia sudah menjangka hal itu.

“Baiklah, hari ini kita akan belajar berkenaan dengan solat. Siapa tahu apa hukum solat?” tanya ustazah kepada anak muridnya.

Seorang daripada mereka segera menjawab, “Hukum solat adalah wajib ustazah.”

“Alhamdulillah, bagus. Kemudian berapa kali sehari kita solat?”

“Lima kali sehari semalam,” jawab seorang lagi.

“Apakah ia?” tanya ustazah kembali.

Pelajar perempuan pula menjawab, “Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak.”

“Bagus.” Ustazah berpuas hati dengan jawapan yang diterimanya.

“Siapa pula boleh beritahu sejarah atau kisah di sebalik kewajipan solat?” Kali ini kelas diam sahaja. Tidak seorang pun memberi respons terhadap soalan ustazah.

Ustazah masih menanti, namun kelas tetap diam seribu bahasa.

Ustazah kemudian cuba memberikan klu-klu mengenainya, “Siapa yang ingat peristiwa Israk dan Mikraj? Apa yang berlaku kepada Rasulullah sewaktu Baginda menghadap Allah di Luh Mahfuz?”

Juga tiada jawapan.

Kemudian ketua kelas mengangkat tangan dan berkata, “Ustazah, kami belum belajar sampai bab Israk Mikraj lagi.”

Ustazah hampir tergelak. “Oh, iyakah? Maafkan ustazah ya. Baiklah, ustazah perjelaskan. Solat adalah satu daripada rukun Islam yang wajib kita tunaikan, ini bermakna kalau kita tidak solat kita akan...?” tanyanya sambil membuat mimik muka yang mengharapkan jawapan.

“Berdosa!” Hampir keseluruhan kelas menjawab serentak.

“Kalau banyak dosa apa yang berlaku?” tanya ustazah lagi.

“Masuk neraka!” Bergema kelas.

“Sedap atau tidak masuk neraka?”

“Tidak, panas! Kami tidak mahu!”

Ustazah mereka kemudian menyambung penerangan, “Asalnya Allah suruh kita solat lima puluh waktu. Namun, Rasulullah memohon kepada Allah agar dikurangkan selepas dinasihatkan oleh Nabi Musa. Maka solat hanya menjadi lima waktu sahaja.”

Penerangan diteruskan dengan menyoal kembali para pelajar, “Solat Subuh berapa rakaat?”

“Dua,” jawab pelajar-pelajar, serentak.

“Solat Zuhur?”

“Empat rakaat.”

“Solat Asar?”

“Empat rakaat.”

“Solat Maghrib?”

“Tiga.”

“Solat Isyak.”

“Empat.”

Tersenyum girang ustazah mereka, “Alhamdulillah.”

Tiba-tiba, seorang murid, yang dikenali sebagai murid yang pendiam, bangun dan memberi isyarat mahu bertanyakan soalan.

Tanya dia kepada ustazah, “Ustazah, kalau Allah menyuruh kita solat, macam mana pula Allah solat?”

Seluruh kelas terpana dengan soalan pelajar itu.

Ustazah mereka juga terkedu sekejap sebelum dapat mencari jawapan yang sesuai bagi menjawab persoalan anak muridnya itu.

Seketika kemudian baharulah ustazah menjawab dengan bertanya kembali kepada pelajarnya itu, “Kenapa awak datang ke sekolah?”

“Kerana mahu belajar,” jawabnya ringkas.

“Selain daripada itu?”

“Kerana mak dan ayah saya suruh.”

“Tapi mereka tidak datang sekolah bukan?”

“Ya.”

“Begitulah juga Allah. Dia yang menyuruh kita bersolat untuk menyembah diri-Nya. Maka Dia tidak perlulah bersolat. Sebagaimana mak dan ayah kita suruh kita datang ke sekolah, sedangkan mereka tidak datang ke sekolah.”

Murid tersebut mengangguk, berpuas hati dengan jawapan daripada ustazah mereka itu.



P/s: Menjawab dengan tidak berhelah adalah cara yang terbaik bagi mengelakkan salah faham dan taboo kepada generasi masa hadapan. Anak-anak sekarang lebih terbuka mindanya dan terdedah dengan pelbagai maklumat dan pengetahuan dan kecanggihan teknologi informasi dan komunikasi.Peranan semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru sebagai sumber rujukan utama anak-anak amat diperlukan dalam memantau dan menapis maklumat yang diserap oleh anak-anak.

Sumber rujukan: ‘Bukan Susah Nak Faham’, Zahiruddin Zabidi.

2 comments:

Lukisan Alam said...

yeaaayyyyy... kenapa cikgu buat kena buat rph?? hahahaha (adoi, soalan tak masuk akal ni, cik miezz. hihi)

cik_mazni said...

saya yang menurut perintah..

hehehe...(^^,)v