::Daripada Api Kepada Api::
Kelihatan seorang murid Darjah Lima sedang berbual dengan sahabatnya. Dia kelihatan sangat resah dan dahinya berkerut-kerut seakan memikirkan hal yang sangat berat. Sahabatnya yang cakna segera bertanya, “Kenapa Iqbal, saya lihat dirimu seakan memikirkan sesuatu yang sangat berat?”
Iqbal hanya mendiamkan diri. Dia seakan sedang memusatkan pemikirannya kepada sesuatu sebelum menjawab, “Ya, Ali. Saya sedang memikirkan sesuatu yang agak berat. Ia sungguh tidak logik jika difikirkan,” jawab Iqbal endah tidak endah sahaja.
Ali menjadi semakin teruja, lantas terus menghujankan soalan tanpa lama menunggu. “Apa kata jika awak kongsikan. Mana tahu jika saya dapat membantu.”
Iqbal hanya menggelengkan kepalanya. “Saya yakin awak juga tidak akan dapat jawab soalan ini.”
Ali sedikit tersinggung. “Iyalah, paling kurang pun awak biarlah saya mencuba terlebih dahulu. Mana tahu saya dapat membantu, insya-Allah.”
Iqbal pada mulanya keberatan kelihatan sedikit lembut hati dan bersedia berkongsi dengan Ali mengenai persoalan yang sedang bermain dalam fikirannya.
“Begini,” Iqbal memulakan bicara, “Ia berkenaan denga Iblis, yang dikatakan tidak mahu sujud kepada Nabi Adam selepas diperintahkan oleh Allah. Dia tidak mahu sujud dengan alasan dirinya lebih mulia kerana diciptakan daripada api.”
“Jadi...?” Ali bertanya pantas.
“Selepas itu, Allah murka dan menjatuhkan hukuman. Iblis akan dihumbankan ke dalam api neraka kelak. Iblis sempat meminta supaya Allah memanjangkan umurnya lalu permintaannya itu diperkenankan. Iblis telah bersumpah mahu mengajak seramai mungkin anak cucu Adam bersamanya ke dalam neraka.” Panjang Iqbal menerangkan.
Ali kemudian menyoal kembali, “ Lantas, apa yang kamu persoalkan?”
“Api,” jawab Ali pantas.
“Neraka itu apakah sifatnya?”
“Juga api.”
“Jadi bagaimana api neraka mampu mengazab dan membakar Iblis yang juga adalah api? Cuba kamu fikirkan?”
Ali kemudian mengangguk dan memejamkan matanya beberapa saat. Kemudian dia berkata, “Secara zahirnya telahan kamu adalah tepat, namun sebenarnya ia adalah salah sama sekali.”
“Maksudmu?” tanya Iqbal.
“Betul kamu mahu tahu?” Iqbal angguk.
“Jangan menyesal.” Ali menduga.
“Tiada sesalan dalam menuntut ilmu,” ujar Iqbal.
Tidak semena-mena Ali mengangkat tangannya dan menampar pipi Iqbal dengan agak kuat. Iqbal terkejut lantas meraung kesakitan. Dia bingung kenapa Ali menampar dirinya dengan tiba-tiba.
Ali kemudian bertanya kepada Iqbal, “Bagaimana, apa yang kamu rasa?”
Iqbal yang masih menggosok-gosok pipinya menjawab dengan sedikit suara berbaur marah dan tidak puas hati, “Sakitlah!”
“Nah, kulit pipi kamu dicipta Allah daripada apa?” Ali bertanya.
“Tentulah tanah,” jawab Iqbal sambil terus menggosok pipinya.
“Tangan saya?”
“Samalah juga.”
“Kamu tetap sakit bukan? Walhal tangan saya yang menampar muka kamu adalah berasal daripada bahan yang sama yakni tanah. Justeru, apakah Iblis yang diperbuat daripada api tidak mampu Allah seksa kelak walaupun dia dimasukkan ke dalam neraka jahanam yang juga adalah api?”
Baharulah Iqbal memahami maksud tersirat mengapa Ali tiba-tiba menamparnya sebentar tadi.
Tamparan yang menyakitkan, dan juga membangkitkan kesedaran.
Nota: Keputusan Allah dan kekuasaan-Nya tidak wajar diragui atau dipersoalkan. Iblis juga adalah makhluk-makhluk yang tidak akan terlepas sama sekali daripada seksaan api neraka dek kerana kekufurannya kepada Allah dan keegoannnya tidak mahu sujud kepada Nabi Adam. Kita harus yakin bahawa tiada yang mustahil bagi Allah. Jika Allah mengkehendaki terjadinya sesuatu perkara, maka jadilah!
Comments
amin..(^_^)