::Negara Islam::

Dalam kesibukan kota raya metropolitan Kuala Lumpur, kelihatan beberapa orang pelancong dari Iran yang datang melawat Malaysia selepas teruja mendengar presiden mereka, Ahmadinejad menyatakan bahawa Malaysia adalah syurga dunia yang wajar mereka contohi.

Sedang mereka berehat di Masjid Asy-Syakirin bersebelahan dengan KLCC, mereka didatangi oleh beberapa orang anak muda, mahasiswa sebuah universiti tempatan yang teruja bilamana mengetahui mereka datang dari Iran.

Mereka kemudian bertanya khabar dan berbasa-basi. Lalu terjadilah dialog yang sungguh mengesankan akan hakikat sebuah negara Islam.

“Bagaimana pendapat tuan mengenai negara ini?” tanya pelajar itu.

Terdiam seketika, matanya menyoroti kawasan taman susunan manusia itu.

“Ya, seperti yang digambarkan sebelum ini. Malaysia adalah sebuah negara yang maju dan membangun. Lihat sahaja bangunan-bangunannya,” sambil tangannya menunjuk ke arah menara berkembar KLCC.

Dia lantas ditanya lagi, “Bagaimana anda boleh memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan?”

“Ya, saya mahu melihat dengan mata kepala saya sendiri. Di Iran, diuar-uarkan Malaysia adalah sebuah negara Islam yang pesat membangun. Ini dilaporkan sendiri oleh Tuan Presiden kami iaitu Dr Ahmadinejad selepas lawatan kerjanya ke sini tidak berapa lama dahulu.”

Salah seorang daripada anak muda itu bertanya, “Jadi, bagaimanakah pandangan tuan mengenai Malaysia dari sudut agamanya? Maksud saya, Malaysia diisyhtiharkan sebagai sebuah negara Islam. Jadi, apakah kamu setuju Malaysia adalah sebuah negara Islam?”

Dia sedikit tersenyum, diam seketika sebelum menjawab, “Saudara sekalian, negara Islam itu adalah sebuah negara di mana undang-undang dan rujukannya yang tertinggi adalah al-Quran dan hadis Rasulullah. Makanya, adakah Malaysia begitu?”

“Tentunya tidak, kami masih menggunakan undang-undang tinggalan British yakni Common Law yang sudah siap dirangka oleh mereka dan dipersetujui oleh pemimpin Malaysia sejak sebelum merdeka lagi.”

Dia kemudian bertanya lagi, “Apakah al-Quran dan hadis tidak cukup? Ya, tidak dinafikan ada beberapa kasus [keadaan] terkini yang memerlukan ijtihad semasa. Itu sebabnya adanya ijmak dan kias.”

Kumpulan pelajar itu terangguk-angguk.

“Ini bermaksud, tuan tidak bersetuju Malaysia adalah sebuah negara Islam?”

Tersenyum, payah hendak menjawab. “Terserah kepada kamu bagaimana mentafsirkan negara Islam itu. Namun, Malaysia tetap sebuah negara yang hebat dan gah dari sudut pembangunan materialnya. Itu tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun. Maka saya berpendapat Malaysia adalah sebuah negara umat Islam dan ia bukan negara Islam sehingga dasar dan undang-undangnya berubah dengan meletakkan al-Quran dan hadis, insya-Allah.”

“Bagaimana pula kita mahu menilai sesebuah negara itu sebagai sebuah negara Islam?” tanya mahasiswa tempatan kepada pelancong Iran itu.

“Antara cara yang paling mudah dan cepat adalah dengan melihat kepada wanita-wanita di negara itu. Ia sudah cukup bagi menggambarkan keadaan Islam dalam sesebuah negara.”

Ringkas dan padat jawapannya, namun tepat terkena batang hidung!

Nota: Sejarah secara jelas merakamkan betapa besar peranan wanita dalam jatuh bangun sesebuah negara dan empayar, secara langsung mahupun tidak. Begitu besar peranan wanita sebenarnya. Wanita merupakan pendidik pertama kepada anak-anak dalam institusi keluarga. Institusi keluarga yang kukuh dan teguh melahirkan masyarakat yang hebat, dan seterusnya masyarakat yang hebat akan menjana negara yang gemilang. Hebat wanita, hebatlah negara. Hancur wanita, maka hancurlah negara.

Wallahu’alam..

Comments

Popular Posts