BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

27 July 2010

~HARAP TIDAK DIDOAKAN ‘PERGI’~


Dalam usia yang semakin merangkak pergi, sudah tiba masanya untuk muhasabah diri. Usah terperangkap dengan cinta gelap, usah mencipta hutang yang banyak, usah ada hubungan yang melampau peribadi unggul & anggun serta usah biarkan masa terbazir begitu sahaja.

Sebaliknya, bina kehidupan agar tidak didoakan ‘pergi’. Namun, jika sudah tiba saatnya terpaksa ‘pergi, tidak perlu dikesali dan ditangisi.

Apabila dinamakan meniti, ia sukar dilalui. Titi tidak semestinya lebar & luas. Kadang-kadang titi hanya wujud terbina daripada sebatang kayu. Dan, kadang-kadang telah rapuh dimakan usia. Namun, untuk sampai ke seberang, kita tetap terpaksa meniti. Perlahan-lahan, berhati-hati dan jadilah bijak pada penghujung usia.

Kata Ibnu Qayyim al-Jauziyah, ada sembilan pembaziran yang sering dilakukan oleh manusia, iaitu;

1. ILMU PENGETAHUAN -> Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan. Anda ada ilmu? Mengapa tidak diajarkan kepada orang lain? Ilmu yang diajar & diamalkan secara berterusan adalah amal jariah yang paling berguna untuk dinikmati hasilnya secara berpanjangan.

2. AMALAN-> Membazir jika dilakukan dengan hati yang tidak ikhlas. Ibarat anda bekerja tanpa mendapat gaji. Keikhlasan penting dalam apa jua pekerjaan.

3. KEKAYAAN -> Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat & tidak diredhai ALLAH. Usia melepasi 40 adalah usia di mana kemewahan boleh terjadi. Biasanya caruman telah matang & simpanan juga hampir penuh. Ketika ini, sudah dikira kayalah namanya. Usah membazir, sebaliknya fikirkan sesuatu yang mana hasilnya boleh dipungut selama-lamanya.

4. HATI-> Membazir jika kosong rasa kasih kepada ALLAH. Moga-moga ALLAH kasih kepada kita. Namun, sebagai hamba, selayaknya anda lebih dulu & sentiasa kasih terhadap ALLAH.

5. TUBUH BADAN-> Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada-NYA. Sekadar menggunakan tubuh untuk riadah & mengabaikan ibadah, ia sememangnya satu pembaziran & juga satu perbuatan tidak bijak.

6. CINTA-> Membazir jika dicurahkan kepada selain ALLAH atau melebihi cinta kepada-NYA. Cinta teragung adalah cinta kepada ALLAH. Memang jelas membazir menyintai manusia melebihi cinta kepada-NYA. Ini kerana manusia mudah berubah, kadang-kadang terlalu cinta kepada seseorang boleh menyebabkan lara, sebaliknya menyintai ALLAH kita akan tetap dalam rahmat-NYA.

7. MASA-> Membazir jika tidak diurus sebaiknya. Urus masa anda dengan sebaik-baiknya, sebab soal baik & buruk selalu diukur pada penghujungnya. Seseorang yang terkenal & mulia pada mulanya belum tentu mulia pada penghujungnya, jika dia tidak benar-benar menjaga peribadinya. Dan, selalunya penghujung ini lebih sukar untuk memeliharanya. Untuk selamat, usah bazirkan masa tidak menentu, sebab masa yang terbazir adalah usia yang dipersia-sia.

8. AKAL-> Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama. Orang yang berjaya adalah orang yang dapat menguasai dunianya serta membuat persediaan untuk akhirat. Untuk ini, dia menggunakan akalnya untuk menuju ke situ tanpa berdolak-dalik.

9. ZIKIR-> Membazir jika ia tidak memberi kesan kepada hati. Lakukannya dengan ikhlas agar dapat memberi ketenangan yang diperlukan dalam menjalani hidup yang penuh dengan pelbagai dugaan & cabaran ini.

♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥

0 comments: